Kesihatan dengan langkah yang efektif. Dengan memiliki

       Kesihatan
merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai dan amat penting dalam kehidupan
kita baik dari segi rohani mahupun jasmani. Sudah semestinya setiap individu
menginginkan tahap kesihatan yang baik buat diri masing-masing.
Walaubagaimanapun, pada zaman yang semakin pesat membangun ini, pelbagai
penyakit semakin berleluasa malah ada yang menyebabkan kematian. Bagi sesetengah orang, nikmat kesihatan hanya disedari
apabila mereka diserang penyakit. Mereka sanggup menghabiskan wang membeli ubat
dan makanan kesihatan untuk mengubati penyakit yang dihadapi. Tambahan pula,
pelbagai ubat dan produk makanan kesihatan wujud di pasaran sekarang seperti
“Cendawan tumbuh selepas hujan”. Keadaan ini tidak seharusnya dipandang
remeh dan sebaliknya perlulah dianggap serius dan disusuli dengan langkah yang
efektif. Dengan memiliki tubuh badan yang sihat,
seseorang dapat melaksanakan aktiviti harian tanpa halangan. Anak-anak dapat ke
sekolah menimba ilmu dan ibu bapa dapat mencari rezeki untuk keluarga.

       Antara
langkah yang boleh diambil dalam usaha menjalani kehidupan yang sihat dan
mendapat kesihatan yang baik adalah dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang.
Pemakanan yang seimbang mestilah berpandukan kepada piramid makanan. Piramid
makanan merupakan satu panduan pemakanan lengkap yang menyatakan zat dan
keperluan pengambilan yang sesuai untuk menjaga kesihatan. Ia disusun
berdasarkan kumpulan makanan dan kuantiti yang perlu diambil bagi menjamin
kesihatan yang lebih baik. Kita disarankan supaya mengambil lebih banyak
sayur-sayuran dan buah-buahan yang berperanan membekalkan pelbagai jenis
mineral dan vitamin kepada tubuh badan kita. Di samping itu, kita mestilah
mengurangkan makanan yang berlemak supaya tidak mendapat penyakit seperti
diabetes dan penyakit jantung. Kebanyakan daripada kita mengetahui bahawa
makanan bukan sahaja perlu kelihatan menarik ketika dihidangkan untuk membuka
selera tetapi mestilah berkhasiat. Namun, jika kita mengambil makanan
semata-mata melayani kehendak selera, ia akan membawa mudarat kepada kesihatan
terutama jika pengambilannya berlebihan.    

We Will Write a Custom Essay Specifically
For You For Only $13.90/page!


order now

       Seseorang
itu seharusnya dapat merancang beberapa aktiviti yang berkaitan dengan
pemakanan yang sihat seperti perancangan menu, pembelian, pemilihan dan
penyediaan makanan sebagai rutin harian dalam dalam kehidupan masing-masing.
Waktu makan juga boleh digunakan untuk melatih diri seseorang tentang amalan
makanan dengan cara sihat. Waktu pemakanan yang bersesuaian mempengaruhi
kesihatan dan kecergasan tubuh badan. Selain daripada itu, nutrisi yang cukup
untuk tubuh badan amat penting dan ianya sebagai nutrien asas untuk
pertumbuhan, pertahanan semula jadi badan dan menjalankan fungsi dari semua
proses tubuh. Jika kita tidak mengambil gaya pemakanan yang sihat, tubuh badan
kita terdedah kepada penyakit yang berbahaya seperti strok, osteoporosis dan
kanser. Selain itu, kita juga boleh mengalami kegemukan berlebihan atau
obesiti.

       Islam
sebagai agama yang sempurna dan lengkap juga telah menetapkan prinsip-prinsip
dalam menjaga kesihatan diri. Kesihatan diri adalah anugerah terbaik dari Allah
untuk hambanya. Makanan sihat di dalam Islam sangatlah penting kerana ianya
meliputi bukan hanya pada persoalan hukum halal atau haram makanan tetapi kualiti
dan efek kesihatan makanan terhadap tubuh kerana tidak ada sesuatu yang begitu
berharga seperti kesihatan. Sebagai hamba Allah, kita hendaklah bersyukur atas
kesihatan yang dimilikinya dan tidak bersikap kufur. Pangkal penyakit
kebanyakannya bersumber dari makanan. Oleh sebab itu, Rasulullah memberi
perhatian besar dalam masalah ini kerana makanan yang sihat akan membuat tubuh
sihat.

       Allah
berfirman dalam Al-quran surah Al A’raf ayat 31:

“Wahai anak Adam! Pakailah
pakaianmu yang indah pada setiap kali memasuki masjid, makan dan minumlah dan
janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang
berlebih-lebihan.”

“Wahai sekalian manusia,
makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan jangan
kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah
musuh nyata bagimu.” (Surah Al Baqarah 168)

       Selain itu, kesihatan kita akan lebih
terjamin jika kita melakukan kegiatan riadah seperti  bersukan dan bersenam. Seseorang individu
mestilah menjalankan aktiviti fizikal seperti bersenam sekurang-kurangnya tiga
kali dalam seminggu dan 20 minit bagi setiap sesi. Kegiatan riadah ini akan menjadi kebiasaan jika setiap hari kita
melakukannya dengan penuh disiplin dan istiqamah sesuai dengan peribahasa,
“Alah bisa tegal biasa”. Dengan melakukan kegiatan riadah, otot-otot
tubuh badan akan lebih bertenaga dan kecergasan badan akan bertambah baik. Hal
ini demikian kerana bersenam akan dapat menyihatkan tubuh badan di samping
meningkatkan tahap kecergasan fizikal.

 

       Seterusnya, pemeriksaan kesihatan amat
wajar dilakukan untuk memastikan kesihatan kita berada dalam keadaan baik.
Mengikut saranan pakar perubatan, kita mestilah menjalani pemeriksaan kesihatan
sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun atau enam bulan sekali. Pemeriksaan ini meliputi tekanan darah, paras gula
dalam darah, tahap kolesterol dan lain-lain lagi. Tujuan pemeriksaan
dibuat  untuk memastikan tubuh badan
berada dalam keadaan yang baik tanpa sebarang penyakit dan dapat mengesan
penyakit kronik dengan lebih awal seperti penyakit kencing manis, darah tinggi
dan sebagainya. Hal ini bertepatan dengan
peribahasa, “Mencegah lebih baik daripada mengubatinya”. Bagi pesakit yang
telah diserang penyakit ini, keadaannya akan boleh dikawal sebelum menjadi
serius seperti peribahasa,”Cegah sebelum parah”. Pemeriksaan kesihatan
mestilah kerap dilakukan supaya dapat memulakan rawatan dari peringkat awal
sekiranya didapati menghidap sebarang penyakit.

 

       Di samping itu, setiap individu mestilah
mendapatkan tidur dan rehat yang cukup. Dalam kesibukan menjalani aktiviti
harian, keperluan tubuh badan tidak wajar diabaikan. Tubuh badan kita
memerlukan rehat yang secukupnya untuk terus berfungsi dengan baik kerana tanpa
rehat yang secukupnya, tubuh badan akan menjadi letih dan lesu sekaligus
menyebabkan semua aktiviti tergendala. Sebagai manusia biasa kita memerlukan
tidur yang cukup setiap malam iaitu antara 7 hingga 9 jam. Kajian menunjukkan
bahawa orang yang tidur kurang dari 6 atau 7 jam semalam berisiko mendapat
banyak penyakit. Dalam kehidupan yang serba canggih ditambah pula dengan
tekanan serta gaya hidup sekarang ini, agak sukar bagi kita mendapatkan tidur
yang cukup dan berkualiti. Mungkin ini adalah salah satu sebab ramai orang yang
berpenyakit sekarang ini.

 

       Kesimpulannya, kita mestilah menjaga
kesihatan dengan baik sejak peringkat awal lagi dan seharusnya penjagaan
kesihatan perlu menjadi agenda dan keutamaan dalam hidup kita seharian. Sesungguhnya,
kesihatan adalah anugerah Tuhan yang perlu dihargai. Oleh itu, kita hendaklah
lebih prihatin dan mengambil berat tentang kesihatan diri agar dapat menjalani
kehidupan yang bekualiti. Kita bertanggungjawab memelihara kebaikan yang telah
dikurniakan kepada kita. Jangan nanti terhantuk baru terngadah kerana sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Kesihatan yang baik dan gaya
hidup yang sihat merupakan suatu amalan kehidupan yang membina dimana ia dapat
membawa kesan yang positif kepada seseorang individu, institusi keluarga dan
juga masyarakat. Individu yang sihat akan mampu memberi sumbangan kepada
pembangunan dan kemakmuran negara selaras dengan slogan, “Rakyat Sihat Negara
Sejahtera”. Kesihatan yang baik dan amalan gaya hidup positif akan membawa
banyak manfaat dan kebahagiaan kepada kehidupan kita serta amat penting untuk
menjamin masa depan yang lebih bersinar.